NORA Anne Quoirin. FOTO Arkib NSTP
NORA Anne Quoirin. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Seremban: Mahkamah Koroner di sini diberitahu bahawa polis memberi tumpuan kepada tiga elemen utama jenayah dalam siasatan kes remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin sebelum memutuskan tiada unsur jenayah terhadap kematiannya.

Ketua Polis Balai Nilai Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed berkata elemen pertama ialah berkaitan asid deoksiribonukleik (DNA) iaitu tompokan dipercayai darah yang diambil di tandas tingkat bawah serta calitan peluh di bahagian atas Sora House, vila penginapan remaja itu bersama keluarga semasa tiba di Malaysia, masing-masing pada 6 dan 7 Ogos 2019.

Selain itu, calitan turut diambil ke atas sembilan kenderaan yang diperiksa pada 10 hingga 17 Ogos 2019 serta sampel bedah siasat remaja itu selain sampel pondok kayu berhampiran lokasi mayat ditemukan dan hasilnya menunjukkan negatif DNA Nora Anne.

Elemen kedua ialah siasatan ke atas cap jari yang diambil polis bagi melengkapkan siasatan meliputi penghuni Sora House, pekerja dan penghuni The Dusun Resort, orang awam yang berada di sekitar kawasan serta ahli keluarga remaja perempuan itu.

"Dalam kes ini, terdapat 11 laporan dokumen mengenai cap jari," katanya semasa memberi keterangan pada hari ke-23 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Mohd Nor Nikman, 33, yang ketika kejadian adalah pegawai penyiasat kes berkata selain itu calitan cap jari turut diambil di luar bingkai tingkap ruang tamu serta pemegang tangga dan bingkai pintu di loteng, Sora House, pada 4 dan 7 Ogos.

Saksi ke-46 itu berkata rakaman percakapan saksi adalah elemen ketiga dalam siasatan dan sebanyak 91 percakapan telah dirakam membabitkan Ketua Balai Pantai SM Adenan Kamsan, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta orang awam yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Selain itu, turut dirakam percakapan ialah pendaki yang menemui si mati, keluarga pemilik The Dusun, keluarga si mati, pekerja dan bekas pekerja The Dusun, pekerja loji air Syarikat Air Negeri Sembilan, pelanggan dan pengunjung The Dusun, pekerja The Shorea, doktor patologi serta anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan Bomba yang menyertai SAR," katanya.

Koroner: Daripada tiga elemen utama ini, jadi kesimpulan tuan?

Mohd Nor Nikman: Daripada ketiga-tiga elemen (yang) dinyatakan, dari segi DNA, tiada DNA si mati pada kenderaan dan juga pada pondok yang diperiksa. Dari segi cap jari, tiada cap jari si mati dijumpai pada kenderaan yang diperiksa dan rakaman percakapan mendapati tiada saksi yang nampak si mati diculik atau pun berlakunya sebarang kejadian jenayah pada si mati.

"Jadi daripada bukti-bukti dan keterangan yang ada, tiada unsur jenayah ditemui dalam kes kematian mengejut si mati melainkan daripada laporan post mortem sendiri yang menyatakan si mati meninggal akibat kelaparan," kata Mohd Nor Nikman.

Koroner: Pihak keluarga sangat memegang kepada isu penculikan, jadi dalam siasatan jenayah berkenaan penculikan, apa yang perlu ada untuk polis menyatakan bahawa kes itu adalah kes penculikan atau membabitkan elemen jenayah?

Mohd Nor Nikman: Kebiasaannya kes penculikan akan ada tuntutan dan sebagainya daripada pihak yang menculik… setakat ini tiada sebarang petunjuk yang menjurus kepada kejadian tersebut.

Koroner: Berdasarkan keterangan tuan, tiada bukti-bukti yang membawa kepada mayat si mati berada di situ disebabkan oleh elemen jenayah?

Mohd Nor Nikman: Setakat siasatan yang dijalankan, tiada sebarang keterangan.

Beliau turut bersetuju dengan soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues berkenaan bahawa semua kemungkinan termasuk teori keluarga bahawa Nora Anne diculik turut disiasat, namun tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan di mana dia dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:52 PM