PEGAWAI Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub memeriksa gas petroleum cecair ( LPG ) bersubsidi yang dirampas di Bentong. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub memeriksa gas petroleum cecair ( LPG ) bersubsidi yang dirampas di Bentong. FOTO Ihsan KPDNHEP
Asrol Awang

Kuantan: Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG ) bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Bentong, semalam.

Dalam serbuan pada 4 petang itu, KPDNHEP merampas 387 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg serta sebuah lori dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM158,240.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Raub, Rozma Ab Rahman berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan sindiket yang menjadikan stor penyimpanan itu sebagai tempat pemindahan gas.

"Ketika serbuan, dua individu disyaki pekerja sedang melakukan kerja pemindahan LPG daripada tong 14 kg kepada tong 50 kg.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui LPG 14 kg dan LPG 50 kg dalam proses pemindahan selain tong LPG 14 kg dan 50 kg yang sudah berisi.

"Kita juga menemui peralatan yang digunakan dalam proses pemindahan gas seperti alat timbang pelantar, paip gas dan penutup silinder," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rozma berkata, kesemua rampasan yang disita dibawa ke stor Ekshibit PKPDNHEP Raub untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan memindahkan gas daripada tong bersubsidi 14 kg kepada tong industri 50 kg.

Katanya, sindiket terbabit kemudian menjual LPG 50 kg itu di sekitar Lembah Klang dan pasaran mereka adalah pihak industri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 4:28 PM