DAGING sejuk beku.
DAGING sejuk beku.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, selain itu daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Menurutnya, pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport.

"Kelulusan permit import dari pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga perlu dikemukakan sebelum daging dan produk daging yang berkenaan dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.

"Jakim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi yang melaksanakan operasi bersepadu perihal dagangan halal yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan masuk daging sejuk beku iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Maqis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, Jakim komited untuk memberikan kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa dan menyeru orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumatberkaitan isu penyalahgunaan logo halal.

Dua hari lalu media melaporkan, terdapat sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.

Susulan itu, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer semalam mendesak kerajaan menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 7:45 PM