DATUK Seri Hishammuddin Hussein. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Hishammuddin Hussein. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Usaha setiap negara menentang penularan Covid-19 ketika ini perlu mendapat sokongan daripada kerjasama di peringkat global.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, saling kebergantungan dan usaha sama perlu diberikan keutamaan bagi matlamat kemanusiaan serta harapan bersama.

Beliau yang berucap pada Sesi Khas ke-31 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang disampaikan secara dalam talian, pagi tadi berkata, pandemik Covid-19 menjadi krisis yang mencerminkan generasi kini, dan buat pertama kali menuntut kepada tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, usaha sesebuah negara terhadap pencarian pemulihan sepenuhnya bukanlah sesuatu yang linear, sebaliknya setiap tindakan perlu mengimbangi ketakutan dalam kesihatan awam serta kebimbangan ekonomi dan sosial dengan melakukan penggantian berdasarkan kepada keadaan semasa yang unik bagi setiap negara.

"Persoalannya, bagaimana kita keluar daripada keadaan ini? Kita memerlukan vaksin, yang mudah diperolehi, vaksin yang saksama serta mampu dimiliki.

"Pendirian kami dalam hal ini jelas. Sesiapa yang menemuinya (vaksin) perlu berkongsi. Bukan saja ia adalah tanggungjawab global, ia juga tanggungjawab moral.

"Malaysia sangat bertegas bahawa sesuatu vaksin, apabila ia dibangunkan, perlu mempromosikan kerjasama antarabangsa berbanding dengan pertandingan berbentuk kenegaraan," katanya.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata, dunia juga berdepan dengan isu maklumat salah berkaitan dengan vaksin, ketika beberapa syarikat mengumumkan keputusan positif kajian yang dijalankan.

Katanya, ketika dunia kini mempunyai sedikit harapan dalam mengakhiri pandemik Covid-19, wujud maklumat salah mengenai pelalian secara paksa, pengubahan DNA dan akaun palsu.

Beliau berkata, ketakutan di seluruh dunia dimarakkan dengan ketersediaan kitaran berita pada setiap masa dan aliran maklumat, sama ada benar atau palsu dalam media sosial.

Hishammuddin berkata, motif utama kempen ini adalah untuk mengeliru serta menjejaskan kepercayaan dalam bidang perubatan ketika ia begitu penting dan akhirnya menyebabkan pandemik ini berterusan.

"Ia mudah, maklumat salah menyebabkan kehilangan nyawa, terutama ketika kita sedang menyediakan program pelalian kebangsaan untuk rakyat kita.

"Kesedaran umum mengenai keperluan terhadap vaksin adalah penting dalam menghalang berlakunya suasana ketakutan dan pecah belah ketika ia dilaksanakan.

"Propaganda anti-vaksin bukan sesuatu yang baharu. Ia sekadar gejala kepada isu lebih besar iaitu hakisan kepercayaan terhadap pihak berkuasa, pakar dan penafian terhadap sains," katanya.

Justeru, beliau berkata, perkara negatif yang dihasilkan oleh propaganda sedemikian perlu ditangani secara langsung.

Hishammuddin berkata, adalah suatu tragedi apabila penyokong kepada mereka yang berkempen menentang konsep pelalian ini dibiarkan berkembang, berikutan ia berisiko memberi pengaruh yang merosakkan kepada masyarakat umum dan mengancam berjuta-juta nyawa.

Beliau berkata, ia berikutan, ketika Covid-19 kini menjadi musuh yang kuat, bahaya maklumat salah juga adalah nyata dan mampu mengganggu kejayaan yang dicapai ketika ini.

Selain itu, Hishammuddin berkata, Malaysia kekal komited untuk bekerja bersama-sama dengan PBB dan semua negara anggota manakala multilateralisme perlu diteruskan untuk memberi hasil kepada semua.

"Ia mungkin tidak sempurna, dan banyak lagi yang perlu dilakukan, tetapi ketika berdepan dengan cabaran sejagat, kerjasama adalah penting bagi kita untuk menggerakkan kepentingan bersama ini.

"Biarpun keadaan adalah tragik sebelum ini, kita mungkin masih belum berdepan situasi yang lebih teruk, kita perlu bersedia dalam usaha setiap usaha, cekal untuk melakukan apa saja untuk bekerja bersama-sama bagi melawan virus berbahaya ini.

"Bersatu hati, perpaduan dan progres, ini adalah nilai kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:29 PM