Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa semua pengamal media supaya menghormati ruang peribadi keluarga anak kapal dan penumpang MH370 yang hilang sejak 17 bulan lalu.

Ia susulan pengesahan pasukan pakar antarabangsa bahawa serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion timur Madagascar 29 Julai lalu adalah daripada pesawat MH370.

Hishammuddin berkata, media perlu memberi ruang privasi kepada mereka (keluarga dan waris MH370) ketika berdepan situasi sukar ini.

Beliau berkata, sebagai pemangku Menteri Pengangkutan pada masa kejadian dan peringkat awal usaha mencari, penemuan flaperon itu mengembalikan kepedihan yang dialami tahun lalu dan berita berkenaan suatu yang sukar kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

“€œKita akan melakukan segala yang terdaya untuk memberikan keselesaan kepada keluarga mangsa dan terus bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa dalam perkara ini.

“€œPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited melakukan yang terbaik untuk mencari kebenaran di sebalik apa yang berlaku,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut Hishammuddin, kehilangan MH370 adalah salah satu tragedi terburuk dalam industri penerbangan dan Malaysia, khususnya.

Katanya, kehilangan MH370 dirasai seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat dunia dan kesedihan itu sukar untuk disembuhkan.

“€œNamun, kehilangan itu turut menjadikan hubungan rakyat negara ini serta komuniti dunia lebih erat dan saya yakin jalinan utuh yang dijalinkan itu dapat membawa kita semua lebih dekat,”€ katanya.

Hishammuddin dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Perancis Jean- Yves Le Drian dan pasukannya atas kerjasama serta sokongan yang diberikan sepanjang misi pencarian MH370.

“MH370 akan sentiasa dikenang dan dengan izinNya, semoga suatu hari nanti kita akan dapat mencari jawapan kepada tragedi ini.

“Saya percaya, pada akhirnya kebenaran akan dapat dibuktikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 2:53 PM