JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Terengganu mengambil dokumen mangsa banjir Kampung Binjai yang dipindahkan di PPS SK Chendering. FOTO Zaid Salim
JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Terengganu mengambil dokumen mangsa banjir Kampung Binjai yang dipindahkan di PPS SK Chendering. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu membuka semula pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini bagi menempatkan penduduk Kampung Binjai, di sini, yang terjejas akibat banjir.

Kesemua 25 mangsa daripada tujuh keluarga itu dipindahkan selepas kampung berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak 5 petang tadi hingga kini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, semua mangsa dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering yang dibuka bermula 10 malam tadi.

"Implikasi hujan lebat secara berterusan menyebabkan kawasan kampung berkenaan yang terletak di kawasan rendah mudah ditenggelami air.

"Limpahan air bukit dan pengaliran air yang perlahan kesan pembinaan longkang baharu juga dipercayai menjadi punca kawasan berkenaan dinaiki air," katanya.

Difahamkan, komuniti Pulau Redang dikatakan turut terjejas akibat daripada pengaliran air bukit dan fenomena air pasang besar.

Berikutan itu, satu PPS dikatakan bakal dibuka bagi menempatkan komuniti pulau berkenaan berikutan kediaman mereka dinaiki air.

Che Adam menasihatkan penduduk di kawasan rendah di daerah ini dan daerah lain sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 11:50 PM