Siti Rohana Idris


Tumpat: Kewujudan keladi bunting yang tumbuh meliar di tali air kira-kira satu kilometer di sepanjang Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) di sini, meresahkan penduduk.

Ia berikutan tumbuhan itu menyekat pergerakan dan aliran air banjir sama ada akibat hujan lebat atau limpahan Sungai Golok untuk kembali ke sungai utama.

Natijahnya nanti bakal menyebabkan beberapa kampung antaranya Kampung Kubang Sawa, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Derdap dan Kuala Jambu mengalami banjir dalam tempoh lama atau dikenali sebagai banjir termenung yang memakan masa antara dua minggu hingga lebih sebulan untuk air surut sepenuhnya.

Penduduk Kampung Derdap, Ariffin Awang Chik, 60, berkata, sepatutnya keladi bunting itu perlu dibuang kerana walaupun hanyut bersama air banjir, ia akan tersekat di saluran pembentung atau jambatan kecil.

"Memang ia akan hanyut, tapi sekarang pun sudah banyak yang tersekat sehingga menutup laluan air dan keadaan itu boleh dilihat di beberapa jambatan kecil dan pembentung air.

"Sepatutnya air banjir akan keluar ke Sungai Golok tapi apabila sudah terhalang dengan timbunan pokok keladi bunting ini, macam mana air nak mengalir keluar?

"Kali terakhir kerja pembersihan keladi bunting ini dibuat pada lima tahun lalu, namun kini masing-masing tidak mahu bertanggungjawab dan saling menuding jari," katanya.

Ariffin berkata, sepanjang satu kilometer pokok keladi bunting itu tumbuh, kawasan bermula dari Kuala Pisau Raut sehingga Kampung Simpangan yang dilihat paling membimbangkan kerana ia antara laluan utama aliran air banjir keluar ke Sungai Golok.

Menurutnya, jambatan kecil di Kampung Simpangan dilihat bakal runtuh bila-bila masa akibat terjahan aliran air banjir yang gagal masuk ke laluan itu disebabkan halangan timbunan pokok keladi bunting.

Warga emas, Ismail Senik, 63, berkata, mereka pernah berbincang untuk meracun sahaja tumbuhan itu, tapi mengenangkan kawasannya agak luas, hasrat itu dipendamkan.

Katanya, selain mereka memikirkan kos tinggi, tumbuhan itu bukannya tumbuh di tanah penduduk, sebaliknya di sepanjang tali air di bawah tanggungjawab pihak berwajib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:35 PM