Siti Rohana Idris


Tumpat: Tali air di Kampung Kok Bedollah di sini yang dipenuhi keladi bunting berbunga ungu sejak seminggu lalu, kelihatan seperti hamparan lavender.

Panorama menarik itu menjadi tarikan penduduk dan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.

Bahkan, seorang penduduk, Khalijah Senik, 63, turut mengambil peluang memetik bunga keladi itu untuk dibawa pulang ke rumah.

Katanya, setiap kali ke kebun ubi kayunya yang tidak jauh dari tali air itu, dia akan memetik bunga keladi berkenaan untuk anaknya yang memang sukakan bunga segar.

"Kewujudan pokok keladi bunting ini bermusim tapi memang kerap. Selalunya apabila ia penuh seperti ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan kerja membuangnya bagi mengelak ia menghalang laluan air.

"Juga supaya proses pengairan air ke sawah lancar tapi tumbuhan ini walaupun sudah dibuang, ia mudah membiak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

KHALIJAH menunjukkan bunga keladi bunting yang dipetik di tali air di Kampung Kok Bedollah untuk dibawa pulang ke rumah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KHALIJAH menunjukkan bunga keladi bunting yang dipetik di tali air di Kampung Kok Bedollah untuk dibawa pulang ke rumah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Sidek Ali Hassin, 34, dari Kampung Tujoh pula berkongsi gambar tumbuhan itu di Facebook dan ramai kenalannya teruja melihat pemandangan berkenaan.

"Saya suka bersiar dan ternampak tali air ini yang penuh keladi bunting. Ia sangat cantik dan keindahannya saya kongsi di media sosial menerusi beberapa keping gambar.

"Rakan juga mengakui keindahan pemandangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:28 PM