AKSI anggota APM Daerah Muallim ketika menyelamatkan kucing di atas bumbung rumah di Proton City, Tanjung Malim. FOTO Ihsan APM
AKSI anggota APM Daerah Muallim ketika menyelamatkan kucing di atas bumbung rumah di Proton City, Tanjung Malim. FOTO Ihsan APM
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Keberanian empat anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas bumbung rumah dua tingkat di Proton City, di sini, mendapat pujian.

Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 8.30 pagi tadi sebelum mengarahkan anggota wanita melakukan operasi menyelamat.

Menurutnya, ini disebabkan hampir semua anggota lelaki bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Meru, Ipoh, Pusat Kuarantin Institut Latihan Statistik Malaysia ( ILSM ) Sungkai dan Sekatan Jalan Raya (SJR) bersama pihak polis.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mereka mendapati seekor kucing berada di atas bumbung sebuah rumah dua tingkat.

"Keempat-empat anggota wanita berbabit bertindak berani dengan memanjat bumbung rumah itu untuk menyelamatkan kucing terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kucing berkenaan kemudian dibawa turun oleh anggota terbabit kira-kira sejam selepas kejadian itu.

"Keberanian anggota wanita APM wajar dijadikan contoh kepada anggota lain supaya sentiasa bersiap siaga sepanjang masa dalam menjalankan apa jua tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 2:59 PM