GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Shah Alam: Polis menahan dua lelaki warga Nepal dan merampas pelbagai peralatan disyaki barang curi bernilai sekitar RM145,000 di sebuah restoran di Puchong dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek berumur 32 dan 23 tahun pada kira-kira 4 petang, polis menemui pelbagai peralatan disyaki barang curi.

Beliau berkata antara ditemui termasuk 99 kotak plastik berwarna putih dengan setiap kotak berisi 10 unit alat pemotong aluminium yang disyaki dilarikan dari sebuah kilang di Meru, Klang, pada bulan Mac lalu.

"Ketika tangkapan, separuh barang curi (dari kilang) ditemui ada pada mereka dan separuh lagi disimpan di sebuah rumah sewa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959 dan kes juga disiasat bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:20 PM