DUA suspek aktif melakukan jenayah pecah rumah ditahan polis dalam serbuan di Taman Tulip, Papar. FOTO Ihsan PDRM
DUA suspek aktif melakukan jenayah pecah rumah ditahan polis dalam serbuan di Taman Tulip, Papar. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Papar: Polis berjaya menyelesaikan kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah ini dan beberapa daerah lain di negeri ini selepas menahan dua lelaki warga Filipina dalam serbuan di Taman Tulip, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar kira-kira 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang pemilik rumah yang dipecah masuk di Jalan Papar Lama, Kinarut pada 29 Julai lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan beberapa barang berharga dan kerugian kira-kira RM4,500.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, polis melakukan serbuan dan berjaya menahan dua lelaki selain turut merampas pelbagai barangan disyaki hasil pecah rumah.

"Sebuah kereta Perodua Myvi yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu turut dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berperanan sebagai pencuri dan penyimpan barang curi.

Katanya, polis percaya dengan penahanan mereka berjaya menyelesaikan kes pecah rumah yang berlaku di daerah ini, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 3:40 PM