KEADAAN jambatan gantung du Kampung Gusi, Ranau yang runtuh. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN jambatan gantung du Kampung Gusi, Ranau yang runtuh. FOTO ihsan pembaca
Yun Mikail


Ranau: Kegigihan tiga pelajar mencari jaringan Internet bagi mengikuti kelas dalam talian berakhir tragedi selepas terjatuh dari jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai berlaku jam 9 malam membabitkan mangsa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

"Ketiga-tiga mangsa belajar di SMK Ulu Sugut, Ranau dan cuba mengakses Internet di bahagian tertentu di jambatan gantung berkenaan.

"Saya akan segera pergi ke kampung itu untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki jambatan berkenaan.

"Kita berharap penduduk kampung dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang.

Jambatan gantung itu difahamkan memiliki ketinggian kira-kira 18 meter dari sungai dan menjadi satu-satunya kawasan yang mempunyai isyarat sambungan Internet.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan jaringan Internet.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunut berkata, penduduk kampung menyatakan semua mangsa berada di tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan gantung itu tiba-tiba runtuh.

"Sambungan Internet di Kampung Gusi ini memang teruk.

"Bagaimanapun, ia lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 8:12 PM