JHEAINS
JHEAINS
Ahmad Hasbi

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengeluarkan salinan Surat Perakuan Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) secara percuma kepada mangsa banjir.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, bagaimanapun program berkenaan terbuka kepada pasangan yang mendaftarkan perkahwinan, perceraian dan rujuk di Negeri Sembilan sahaja.

Katanya, JHEAINS mengeluarkan arahan bagi pengeluaran salinan untuk ketiga-tiga proses kepada pasangan yang terjejas banjir selaras dengan objektif peningkatan reputasi dan peningkatan kecekapan perkhidmatan.

"Setiap permohonan hendaklah mengikut prosedur. Pemohon adalah individu atau pasangan yang terjas akibat banjir yang berlaku di seluruh Malaysia mulai 18 Disember lalu.

"Rekod proses NCR adalah berdaftar di Negeri Sembilan. Mengisi borang dengan melampirkan salinan dokumen pengenalan diri dengan borang perlu disahkan imam masjid kariah, Penolong Pendaftar NCR, Ketua Kampung, Pengerusi MPKK atau Pengerusi Jawatankuasa Penduduk tempat pemohon tinggal," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, borang permohonan dan salinan dokumen yang dipohon diberikan secara percuma.

"Pengeluaran salinan perakuan NCR akan dikeluarkan dalam tempoh satu hari bekerja apabila pemohon melengkapkan borang khas yang ditetapkan sebelum jam 3 petang dari hari Isnin hingga Khamis atau sebelum jam 12 tengah hari pada Jumaat.

"Garis panduan ini berkuat kuasa dari 3 Januari hingga 31 Mac 2022. Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi ibu pejabat JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah di tempat masing-masing," katanya.

#kw JHEAINS, salinan, sijil, nikah, cerai, banjir, percuma, Seremban

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 12:46 PM