GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hayati Ibrahim dan Maiamalina Mohamed Amin


Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu diambil bagi membantu golongan peneroka.

"Kerajaan juga akan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta.

Beliau berkata, ia bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran rendah ketika ini.

"Dengan kenaikan ini, pendapatan 150 ribu pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan.

"Selain itu, kenaikan elaun sara hidup kepada RM300 sebulan mulai tahun depan akan dinikmati lebih 40,000 nelayan membabitkan peruntukan sebanyak RM151 juta," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan.

Antaranya, subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

"Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 5:43 PM