Zulkifli (kanan) dan Jeohany Fitry menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di KM9 Sungai Lebey, JRTB Gerik-Jeli kelmarin. Foto Mohd Rashidi Yusuf
Zulkifli (kanan) dan Jeohany Fitry menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di KM9 Sungai Lebey, JRTB Gerik-Jeli kelmarin. Foto Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf

Gerik: Demi upah lumayan iaitu sebanyak RM6,000 bagi sekali penghantaran, seorang lelaki sanggup rentas tiga negeri untuk mengambil dan menghantar barangan disyaki daun ketum.

Bagaimanapun, lelaki dari Jeli yang memandu lori lima tan dan memuatkan kira-kira 1,500 kilogram daun ketum yang diisi dalam 150 bungkusan plastik hitam berjaya ditahan di sekatan jalan raya di Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Sungai Lebey di sini, pada 11.55 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik Superitendan Zulkifli Mahmood berkata, lelaki berusia 34 tahun itu yang sedang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kelantan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen yang diminta polis.

Menurutnya, suspek baru pertama kali ditahan walaupun dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak Disember tahun lalu dan sudah melakukan empat kali perjalanan," katanya ketika sidang media di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Gerik Asisten Superintendan Jeohany Fitry Mohamed.

Zulkifli berkata, bekalan daun ketum berkenaan dipercayai diperolehi di sebuah kampung di Kedah untuk dipasarkan di sekitar Pantai Timur.

Menurutnya, suspek diberi upah sebanyak RM4 bagi setiap sekilogram yang dibawanya.

Katanya, nilai borong barangan berkenaan dianggarkan sebanyak RM15,000, manakala nilai pasaran semasa pula di sekitar Pantai Timur ialah RM30 sekilogram dan anggaran hasil jualan keseluruhan berjumlah RM45,000.

"Turut dirampas wang tunai sebanyak RM6,950 daripada suspek yang sudah berkahwin dan bekerja sendiri.

"Suspek direman sehingga 25 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 8:56 PM