Syaherah Mustafa

Jeli: Terima upah RM1,000 untuk membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan. Itu dilakukan seorang lelaki berusia 28 tahun yang ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Enam di Batu Melintang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata, dia ditahan selepas dikesan membawa 1,000 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,000 yang disembunyikan di sebalik muatan anak kelapa sawit di dalam lori dipandunya.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, anggota bertugas menahan sebuah lori jenis Hicom berwarna putih dari arah Gerik ke Jeli.

Katanya, tiada sebarang barangan salah ditemui pada badan pemandu, namun pemeriksaan bahagian belakang lori mendapati terdapat bungkusan plastik hitam disorokkan di sebalik anak pokok yang mengandungi dedaun kehijauan disyaki daun ketum.

"Kesemua barangan rampasan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut. Soal siasat terhadap suspek juga mendapati dia diberi upah sebanyak RM1,000 untuk membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan.

"Suspek ditangkap dan ditahan reman selama empat hari bermula 2 Julai sehingga 5 Julai," katanya dalam sidang media di IPD Jeli, di sini, hari ini.

AHMAD Arifin (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas anggotanya di SJR Batu Enam di Batu Melintang, kelmarin.FOTO Syaherah Mustafa
AHMAD Arifin (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas anggotanya di SJR Batu Enam di Batu Melintang, kelmarin.FOTO Syaherah Mustafa

Ahmad berkata, di lokasi SJR yang sama, pihaknya turut merampas 200 kg daun ketum bernilai RM 2,000 yang dibawa seorang lelaki tempatan menggunakan kereta jenis Proton Persona pada jam 1.30 tengah hari, semalam.

"Pemeriksaan pada bahagian bonet belakang menemui 20 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang dipercayai dibawa dari Pendang, Kedah.

"Selain itu, pemandu berusia 22 ini juga gagal menunjukkan dokumen perjalanan rentas negeri dan daerah. Siasatan juga mendapati daun ketum berkenaan untuk pasaran di seluruh Kelantan.

"Anggota kemudian menahan suspek serta merampas kenderaan dan daun ketum untuk tindakan lanjut, manakala lelaki itu ditahan reman empat hari mulai hari ini hingga 7 Julai," katanya

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:34 PM