ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Ayer Molek, malam ini. FOTO AMIR MAMAT
ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Ayer Molek, malam ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama di daerah Melaka Tengah dibuka malam tadi dengan menempatkan seramai 55 mangsa banjir membabitkan 15 keluarga.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek kira-kira jam 7 malam tadi selepas tiga kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Molek dilanda banjir kilat iaitu Kampung Pengkalan Minyak, Kampung Busut Licin dan Kampung Ayer Molek.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, hujan lebat berterusan sejak jam 11 pagi menyebabkan keadaan air di Sungai Duyong, di sini, melimpah keluar.

Katanya, disebabkan keadaan itu, penduduk terpaksa dipindah segera ke PPS berkenaan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

"Kami akan melakukan pemantauan secara berterusan di semula lokasi banjir untuk memastikan tiada mangsa yang terkandas di rumah mereka akibat bencana itu," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, sehingga jam 10 malam ini, jumlah mangsa banjir di daerah Alor Gajah meningkat kepada 69 orang.

PPS SK Durian Tunggal mencatatkan seramai 56 mangsa membabitkan 12 keluarga, diikuti PPS SK Ganun (12 mangsa) dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (seorang mangsa)

Enam kawasan yang dinaiki air ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Gadek Dalam dan Kampung Pengkalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 12:21 AM