GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keadaan banjir di Melaka dan Selangor semakin pulih apabila mencatatkan penurunan jumlah mangsa setakat petang ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 849 orang daripada 215 keluarga sehingga 4 petang berbanding 1,105 orang daripada 283 keluarga pada 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan hari ini berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di negeri itu kekal sebanyak 12 buah.

Beliau berkata, di Melaka Tengah terdapat 485 mangsa daripada 110 keluarga yang ditempatkan di enam PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

"Di Alor Gajah seramai 103 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala 261 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen," katanya.

Di SELANGOR, Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi laman web jabatan itu memaklumkan setakat 5.21 petang tadi, tujuh PPS di Sepang masih dibuka yang dihuni 243 mangsa daripada 61 keluarga, berbanding 279 mangsa daripada 69 keluarga pada 8 pagi tadi.

PPS berkenaan ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Giching yang masih dihuni 51 mangsa, SRA Kampung Labu (62), SRA Kampung Dato Ahmad (78 ), Balai Raya Kampung Giching (satu), SRA Dengkil (44), Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Labu Lanjut (tujuh) dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (tiada).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:42 PM