Norsyazwani Nasri


Miri: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menumbuk dan mencekik bekas teman wanitanya hingga cedera di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan di Desa Pujut, Bandar Permyjaya di sini pada 12.05 tengah hari, susulan laporan mangsa berumur 24 tahun.

Katanya, dalam laporannya, mangsa mendakwa suspek menahan kereta dinaikinya bersama rakan wanita di tepi jalan menghala persimpangan Jalan Dato Permaisuri pada 2.30 pagi.

"Suspek kemudian memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan dia dikatakan menumbuk mangsa ketika dalam kereta itu, selain menendang badan dan menghentak kepala mangsa di pintu kereta.

"Malah suspek juga didakwa bertindak lebih ganas dan mencekik leher mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakemal berkata, mangsa yang ketakutan berjaya melarikan diri dan mengelak daripada terus ditumbuk dan dibelasah.

"Selepas itu, suspek didakwa mengambil beg tangan wanita itu yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, telefon bimbit, rantai emas dan wang tunai.

"Mangsa tidak pasti motif suspek bertindak sedemikian dan ketika tangkapan, semua barang milik mangsa ditemui di rumah suspek," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 2:45 PM