Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak 5 petang tadi menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota dinaiki air.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan banjir kilat dan dua kes pokok tumbang.

Menurutnya, banjir kilat berlaku di Jalan 21/26, Taman Sri Rampai, Jalan Hang Lekui, Jalan Segambut dan Jalan Keramat.

Katanya, anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati air naik 0.5 hingga 0.9 meter namun surut tidak lama kemudian.

"Ada dua mangsa yang terperangkap di dalam rumah di Jalan Keramat namun dapat diselamatkan.

"Bagi kawasan lain pula, tidak membabitkan sebarang mangsa," katanya, hari ini.

Beliau berkata, kejadian pokok tumbang pula dilaporkan di Jalan Damansara dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas namun tidak membabitkan mangsa.

Tambahnya, anggota bomba kemudian mengalihkan serpihan pokok yang tumbang supaya tidak menghalang trafik di kawasan terbabit.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) meredah banjir untuk memanggil keluar penduduk sekitar Kampung Periuk keluar dari kediaman mereka susulan kejadian banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) meredah banjir untuk memanggil keluar penduduk sekitar Kampung Periuk keluar dari kediaman mereka susulan kejadian banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 8:37 PM