Rosman Shamsudin

HUJAN lebat melanda menyebabkan beberapa buah kampung dan jalan serta pekan di Bidor mengalami banjir kilat pada 6 petang hari ini.

Selain itu, hujan yang disusuli angin kuat itu juga menyebabkan beberapa batang pokok tumbang di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, hujan lebat menyebabkan dua buah kampung iaitu Kampung Petalin dan Kampung Cegar Tambahan mengalami banjir kilat.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa memotong pokok dan membersihkan jalan untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Keadaan pokok tumbang dan banjir kilat melanda beberapa kawasan di Bidor hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan pokok tumbang dan banjir kilat melanda beberapa kawasan di Bidor hari ini. Foto Ihsan Pembaca

“Anggota bomba juga membuat pemantauan di kawasan kampung yang dilanda banjir kilat untuk memastikan keselamatan penduduk yang terbabit dalam keadaan terkawal.

“Air sudah mulai surut di kawasan yang dilanda banjir kilat dan tiada pusat penempatan sementara (PPS) dibuka akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, keadaan banjir kilat di pekan dan jalan sempat dirakam oleh orang ramai yang melalui jalan itu petang hari ini.

Rakaman itu menyaksikan pekan dilanda banjir kilat terutama di kawasan premis perniagaan menyebabkan beberapa buah kenderaan terperangkap dalam banjir kilat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 11:09 PM