GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Masjid Nasiruddin Shah di Kampung Raja, Besut ditutup selama tiga hari bermula hari ini susulan terdapat pesakit positif Covid-19 yang menunaikan solat di masjid berkenaan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, penutupan masjid itu bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan terdapat kes positif Covid-19 yang disahkan pada 15 November lalu

"Pesakit ini dikenal pasti menunaikan solat Jumaat di Masjid Nasiruddin Shah pada 13 November lalu, jadi keputusan penutupan sementara ini dibuat bagi mengelak berlakunya penularan penyakit berjangkit selain bertujuan memudahkan proses sanitasi di seluruh kawasan masjid.

"Arahan penutupan ini dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mat Azmi berkata, rakyat di Terengganu masih dibenarkan menunaikan solat fardu dan Jumaat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti masjid dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, bagi masjid dan surau yang berada di Zon Merah, solat fardu lima waktu berjemaah dibenarkan untuk tiga orang sahaja membabitkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid secara bergilir-gilir manakala solat Jumaat tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 5:52 PM