Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Tidak pernah lelah menjaga adik kandungnya yang sawan hampir setiap hari, Rokiah Jusoh, 61, cekal menguruskan Mohd Rosli Jusoh, 47, atau Paksu Li sejak hampir 30 tahun lalu.

Rokiah berkata adik bongsunya itu sering diserang sawan sejak berusia 12 tahun dan kini keadaan Paksu Li semakin teruk dan hanya mampu terlantar.

Menurutnya, Paksu Li tinggal bersamanya di rumah pusara peninggalan orang tua mereka dan ada masanya adik beradik yang lain datang menguruskan adik mereka itu jika ada kesempatan.

"Hampir setiap masa saya bersama adik, tambahan pula keadaan dia yang semakin teruk sejak beberapa tahun ini. Hampir setiap hari dia diserang sawan, namun saya tidak mengeluh malah berasa kasihan dengan nasibnya ini.

"Saya jarang bercerita tentang adik kerana risau disalah tafsir sebagai rungutan kerana ikhlas menjaga darah daging saya sendiri, malah bukan kehendak dia untuk hidup begini, jadi sayalah yang bertanggungjawab memberi semangat dan menenangkan Paksu Li.

"Setiap kali dia diserang sawan saya hanya mampu mengalirkan air mata, ada ketika saya beranikan diri mendekati dia selain membacakan ayat suci al-Quran sebagai usaha supaya dia cepat sedar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Bendang Guchil, di sini, semalam.

James (kiri) dan Soba (depan kiri) serta rakan sekelasnya melawat Chew yang lumpuh separuh badan dari pinggang hingga kaki tahun lalu. FOTO ihsan Soba Singh
James (kiri) dan Soba (depan kiri) serta rakan sekelasnya melawat Chew yang lumpuh separuh badan dari pinggang hingga kaki tahun lalu. FOTO ihsan Soba Singh

Rokiah yang juga ibu kepada lima cahaya mata berkata, dia juga pernah beberapa kali mengalami lebam serta luka di muka dan bahagian badan akibat ditendang atau ditumbuk tanpa sengaja oleh Paksu Li ketika adiknya itu sawan serta tidak sedarkan diri.

"Namun saya tidak pernah menyalahkan adik malah setiap kali selepas Paksu Li sedar daripada sawan, adiknya itu menangis meminta maaf kerana tiada niat mencederakannya.

"Dengan usia sebegini, saya akui sukar untuk menguruskan Paksu Li seorang diri namun, Alhamdulillah, anak bongsu saya yang berusia 19 tahun masih tinggal bersama untuk membantu menguruskan bapa saudaranya ini selepas saya kematian suami.

"Kami sebenarnya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) milik Paksu Li sebanyak RM300 sebulan, selain wang yang dihulur oleh anak-anak saya, namun masih tidak mencukupi untuk menampung kos lampin pakai buang serta ubat-ubatan.

"Selain itu, dia juga berselera dan perlu diberi makan sebanyak tiga kali sehari. Walaupun keadaan begini, saya pastikan dia tidak kelaparan selain sentiasa membersihkan tempatnya jika dia terbuang air besar atau terkencing setiap kali sawan," katanya yang tekad menjaga Paksu Li selagi nyawanya dikandung badan.

Bagi sesiapa yang ingin meringankan beban mereka, boleh menghulurkan bantuan menerusi Agro Bank milik Rokiah Jusoh di nombor akaun 2-00-6612-00001071-5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 4:50 PM