DUA lelaki warga Bangladesh parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabas, hari ini. FOTO ihsan polis.
DUA lelaki warga Bangladesh parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabas, hari ini. FOTO ihsan polis.
Rosman Shamsudin


Tapah: Dua lelaki warga Bangladesh parah apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 348.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, penunggang motosikal Md Jasim, 37, putus tangan kiri manakala pembonceng, Safigul Islam, 37, patah kedua-dua belah tangan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 6.44 petang dan mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Slim River ke Ipoh.

"Berdasarkan siasatan awal, sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar besi penghadang lebuh raya terbabit.

"Akibat kemalangan itu, penunggang putus tangan kiri dan pemboncengnya pula patah di kedua-dua belah tangan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa adalah warga Bangladesh yang berkerja di sektor pembinaan dan tinggal di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:11 PM