Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Dua pekerja swasta dan seorang guru berputih mata selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman wang tidak wujud menyebabkan mereka kerugian RM18,700.

Semuanya bermula apabila ketiga-tiga mangsa berusia 20,30 dan 33 tahun itu membuat pinjaman wang untuk urusan peribadi yang ditawarkan di Internet baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata, ketiga-tiga mangsa ingin membuat pinjaman wang sekitar RM5,000 hingga RM35,000.

"Mangsa pertama seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dan mangsa kedua iaitu guru wanita membuat carian pinjaman wang melalui Google manakala mangsa ketiga iaitu wanita yang bekerja sebagai operator kilang melayari Facebook untuk mencari maklumat bagi meminjam wang.

"Ketiga-tiga mangsa kemudian menemui iklan pinjaman wang berlesen yang kononnya diiklankan bank tempatan lalu meninggalkan butiran peribadi.

"Tidak lama selepas itu, mereka dihubungi pihak ejen sebelum diminta membuat bayaran proses untuk pengaktifan akaun," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa pertama memasukkan wang berjumlah RM13,914 manakala mangsa kedua memasukkan RM1,250 dan mangsa ketiga pula memindahkan wang simpanannya berjumlah RM1,810 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Bagaimanapun mereka akhirnya sedar ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan lalu membuat laporan polis semalam," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:43 PM