GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Berhasrat meminjam wang untuk menambah modal perniagaan namun tidak mahu bayaran ansuran bulanan terlalu tinggi menyebabkan tiga individu terpengaruh dengan iklan pinjaman tidak wujud hingga menyebabkan mereka kerugian lebih RM39,400.

Mangsa iaitu pengurus syarikat lelaki berusia 43 tahun, kerani lelaki juga berusia 43 tahun dan peniaga barangan dalam talian wanita berusia 26 tahun masing-masing mendakwa kerugian antara RM3,000 hingga RM23,000 selepas terjerat dalam penipuan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua mangsa lelaki berminat mahu menjalankan perniagaan kedai perabot sebagai pendapatan sampingan manakala mangsa wanita pula berhasrat mengembangkan perniagaan barangan kecantikan secara dalam talian yang diusahakannya.

"Ketiga-tiga mereka menerima iklan pinjaman wang melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, lalu berminat kerana terpengaruh dengan tawaran pinjaman menarik selain kadar bayaran ansuran yang rendah.

"Mereka bertiga berhasrat membuat pinjaman wang di antara RM10,000 hingga RM50,000 sebelum berurusan lebih lanjut dengan ejen sindiket tanpa sedar mereka sudah terjerat dengan penipuan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa diminta membuat bayaran proses dan bayaran pengaktifan akaun terlebih dulu daripada individu mendakwa ejen syarikat.

"Pengurus itu melakukan lima transaksi wang ke dalam tiga akaun bank berjumlah RM23,311.46, manakala kerani itu membuat lapan transaksi ke dalam akaun bank diberikan oleh seorang individu berjumlah RM13,156.

"Mangsa ketiga yang kononnya permohonan pinjaman sebanyak RM30,000 didakwa sudah lulus dan diminta untuk membuat pelbagai bayaran sehingga dia rugi RM3,000 melalui satu transaksi," katanya.

Noorzainy berkata, tiga individu itu sedar diri mereka ditipu selepas ejen syarikat itu berterusan meminta tambahan wang lalu membuat laporan polis semalam.

"Polis sedang menjalankan siasatan ke atas akaun-akaun bank yang diberikan kepada mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:25 PM