Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kira-kira 80 penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai dekat sini, bimbang musim hujan yang bakal melanda akan menenggelamkan kawasan berkenan. seperti kejadian yang berlaku semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, penduduk kampung terkejut apabila air dari Sungai Skudai yang terletak di belakang penempatan berkenaan tiba-tiba naik mendadak menyebabkan kesemua rumah penduduk di situ ditenggelami air sehingga paras lutut dan paha.

Seorang penduduk, Siti Nurazlina Zamri, 20, berkata dia terkejut ketika mendapati rumahnya sudah ditenggelami air banjir hingga paras paha ketika baharu pulang dari tempat kerjanya.

"Apabila ternampak ramai anggota bomba dan jenteranya di jalan masuk kampung ini, saya sudah mula berasa tidak sedap hati.

"Terbukti benar kawasan tempat tinggal sudah digenangi air Sungai Skudai sehingga paras paha, keluarga saya juga tidak sempat menyelamatkan banyak barangan kerana air sungai naik dengan sangat pantas," katanya ketika ditemui sedang membersihkan kediaman keluarganya itu.

Semalam, dilaporkan seramai 80 penduduk termasuk kanak-kanak di Kampung Laut Batu 10, Skudai dekat sini, terperangkap di rumah mereka selepas air sungai naik mendadak berikutan hujan lebat, berjaya diselamatkan.

Faktor hujan lebat berterusan dan pelepasan air dari empangan berhampiran menyebabkan air sungai sedalam 1.21 meter melimpah ke kampung berkenaan.

Semua penduduk sudah kembali ke rumah mereka daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai ditutup pagi hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Faizal Salim, 38, berkata, dia dan keluarga juga tidak sempat menyelamatkan barangan terutama perabot berikutan air sungai naik dengan mendadak.

Katanya, kali terakhir kawasan berkenaan banjir adalah Disember tahun lalu apabila air Sungai Skudai melimpah.

"Namun banjir sebelum ini air sungai naik tidak mendadak dan berlaku secara beransur-ansur membolehkan penduduk menyelamatkan barangan mereka.

"Bagaimanapun, kali ini saya dan keluarga hanya sempat menyelamatkan mesin basuh dan pinggan mangkuk sahaja.

"Penduduk akur air dari empangan berhampiran terpaksa dilepaskan berikutan hujan lebat dan jika tidak dilepaskan Kampung Sepakat Jaya di seberang sana pula akan dilanda banjir besar, " katanya.

SESI persekolahan di rumah
SESI persekolahan di rumah

Menurutnya, penduduk kini mula bimbang berikutan musim hujan bakal melanda dan meningkatkan lagi risiko kawasan di situ dilanda banjir lagi.

"Penduduk akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengemas barangan mereka lebih awal sebagai persediaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 4:26 PM