PENDUDUK memasuki rumah selepas banjir surut. FOTO Ramli Ibrahim
PENDUDUK memasuki rumah selepas banjir surut. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


SEMBILAN keluarga di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang mahu pihak berkuasa membesarkan laluan sungai di kampung itu yang didakwa penyebab utama berlakunya banjir kilat, setiap kali hujan lebat.

Banjir kilat terbaru berlaku 8.30 malam tadi yang menyebabkan rumah penduduk dimasuki air.

Seorang penduduk, Zalina Mat Yaman, 27, berkata, dia tidak sempat menyimpan barangan kerana air naik mendadak dan terpaksa keluar menyelamatkan diri.

"Ini adalah kejadian kedua pada tahun ini. Kejadian pertama Jun lalu yang menyebabkan semua perabot di rumah saya musnah.

"Saya membeli perabot baru, dua bulan lalu dan nampaknya rosak juga selepas air naik mendadak. Serik sungguh menghadapi banjir begini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Asmadi Rashdi, 26, berkata, walaupun banjir surut cepat, namun risiko kerugian ditanggung mereka, tinggi.

"Setiap kali banjir kilat, inilah yang terpaksa kami tanggung. Memang air akan surut dalam tempoh dua jam, tetapi kesannya yang mengakibatkan kami tertekan.

"Saya berharap sangat pihak berkuasa ambil langkah segera termasuk besarkan laluan sungai berhampiran kerana mudah melimpah setiap kali hujan lebat berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 12:45 PM