LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Penahanan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam di ibu negara semalam adalah untuk siasatan mengenai video dimuat naik di Facebook (FB) yang mempunyai unsur ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan sudah dimulakan mengenai video dimuat naik oleh pemilik akaun FB Lokman Noor Adam.

Selain mempunyai unsur ugutan jenayah, katanya, kandungan video itu juga menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman sudah memulakan siasatan terhadap satu laporan polis ke atasnya.

"Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.

"Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, penahanan ke atas suspek dilakukan semalam kira-kira 11 malam dan gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video berkenaan turut dirampas.

Huzir berkata, permohonan reman ke atas suspek sudah dibuat dan dibenarkan selama satu hari.

"Siasatan lanjut masih diteruskan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan yang dijalankan adalah secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.

"PDRM menggesa semua pihak memberi ruang untuk melengkapkan siasatan secara telus dan adil.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Lokman dilaporkan ditahan ketika sedang bersiaran langsung menerusi laman sosial FB di sebuah restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau menerusi siaran langsung bertajuk 'Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul? turut memaklumkan didatangi pegawai polis sebelum menamatkan siarannya.

Mengesahkan lagi penahanan itu, beliau turut membuat hantaran di FB meminta bantuan peguam tidak lama selepas itu.

Sejak beberapa hari lalu, beliau sering bersiaran langsung di FB mengenai isu semasa termasuk berkaitan permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 7:10 PM