Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Ops Benteng, semalam, manakala empat kenderaan darat dirampas.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ops Benteng adalah kawalan sempadan negara yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi lain.

Menurutnya, operasi itu mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak Covid-19.

"Semalam, sebanyak 298 Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Benteng dilakukan di seluruh negara.

"Pecahan SJR itu ialah PDRM (224 SJR), ATM (65 SJR) dan (AKSEM (sembilan SJR).

"Orang ramai diminta menghubungi National Task Force di talian 011-62511223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan Pati dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-228 dan hari ke-144 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan ATM
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan ATM

Mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, katanya, operasi di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan 10,979 operasi sanitasi merangkumi 137 zon sejak 30 Mac lalu.

Beliau berkata, sebanyak 39 operasi sanitasi meliputi 12 zon merah, 10 zon kuning dan empat zon hijau dilaksanakan di 11 negeri, semalam.

"Berdasarkan pecahannya, Sabah membabitkan lapan operasi; Melaka (lapan), Negeri Sembilan (lima operasi); Sarawak dan Kuala Lumpur (empat); Pulau Pinang dan Terengganu (tiga) dan masing-masing satu operasi di negeri Pahang, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

"Operasi Sanitasi ini membabitkan 297 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 200 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 44 dari agensi lain.

"Sebanyak 40 jentera JBPM turut digunakan dalam operasi sanitasi awam ini," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 5:33 PM