Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Semua masjid dan surau di daerah ini yang diisytiharkan zon merah dibuka dan semua aktiviti diteruskan mengikut prosedur standard operasi (SOP) sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pengurusan masjid dan surau diarahkan mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan setiap jemaah mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, sebarang tindakan penutupan sementara masjid dan surau di daerah Johor Bahru tertakluk kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sehingga hari ini, tiada arahan dikeluarkan MKN dan KKM untuk menutup sementara mana-mana masjid atau surau di daerah Johor Bahru yang diisytiharkan zon merah.

"Jumlah kehadiran jemaah juga masih kekal mengikut SOP sebelum ini iaitu mengikut 1/3 daripada kapasiti keluasan masjid atau surau.

"Namun jika ada kes Covid-19 yang disahkan berlaku di mana-mana masjid atau surau dan terdapat arahan penutupan dikeluarkan MKN dan KKM, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengambil langkah sewajarnya," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau penutupan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) Larkin, hari ini.

Khamis lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengumumkan Johor Bahru sebagai zon merah berikutan kes jangkitan aktif Covid-19 meningkat kepada 45 kes dengan kewujudan empat kluster.

Sementara itu, Tosrin meminta 47 institusi pendidikan agama swasta termasuk sekolah tahfiz persendirian untuk mematuhi arahan JAINJ mengenai penutupan sementara semua institusi pendidikan bermula hari ini sehingga 14 November depan.

"Jika JAINJ mendapati ada institusi pendidikan agama swasta di Johor Bahru ingkar terhadap arahan dikeluarkan, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata, semua pelajar yang tinggal di asrama institusi pendidikan Islam bawah kelolaan JAINJ sudah diarahkan untuk pulang ke rumah masing-masing dengan segera.

"Institusi terbabit termasuklah MARSAH, Tadika Agama Johor, Sekolah Agama Kerajaan Johor, Maahad Johor dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SRAB).

"Arahan turut membabitkan Madrasah Tahfiz Swasta, Sekolah Rendah Agama Swasta, Sekolah Menengah Agama Swasta dan Madrasah Malabar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 3:22 PM