ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan terhadap empat suspek yang terbabit dengan penipuan pembelian sarung tangan getah. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan terhadap empat suspek yang terbabit dengan penipuan pembelian sarung tangan getah. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Empat individu termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki terbabit dengan penipuan pembelian sarung tangan getah di sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 28 tahun, di sini, yang membeli 39,000 kotak sarung tangan getah bernilai RM1.28 juta pada 8 September lalu.

"Mangsa diwakili ejennya melihat stok sarung tangan berkenaan dan berjumpa suspek iaitu seorang wanita untuk membuat pengesahan pembelian.

"Keesokan harinya, mangsa membuat dua kali pembayaran ke dalam akaun bank milik suspek.

"Malah, suspek berjanji menyerahkan stok itu, namun tidak sampai ke syarikat mangsa seperti dijanjikan dengan alasan ia sudah dijual kepada syarikat lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek berjanji kepada mangsa untuk memulangkan semula wang berkenaan pada 13 Oktober lalu namun cek diserahkannya adalah palsu menyebabkan pengarah syarikat terbabit membuat laporan polis.

"Susulan maklumat itu, kami membuat serbuan di pekarangan sebuah pejabat di Jalan Tun Razak jam 7.30 malam tadi yang membawa kepada dua lelaki serta dua wanita berusia 20 hingga 45 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kami merampas 10 telefon bimbit, tujuh fail milik syarikat yang mengandungi pelbagai dokumen, sebuah komputer serta cop milik syarikat dalam serbuan itu," katanya.

Katanya, semakan mendapati seorang suspek wanita berusia 30-an mempunyai rekod dikehendaki bersabit empat laporan berkaitan kes penipuan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 8:50 PM