ANGGOTA polis di laluan masuk yang ditutup di Jalan Kok Klang susulan pelaksanaan PKPD di Pusat Koreksional Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA polis di laluan masuk yang ditutup di Jalan Kok Klang susulan pelaksanaan PKPD di Pusat Koreksional Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Arau: Semua laluan masuk ke Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka ditutup bermula hari ini sehingga 4 November depan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan penjara membabitkan wilayah utara dan Selangor.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, penutupan jalan membabitkan kawasan barat dan timur Jalan Kok Klang sepanjang 500 meter itu menghubungkan kawasan penjara dengan dua jalan utama yang sering digunakan orang awam.

Katanya, pengguna dari dua jalan ke Jalan Kok Klang iaitu Jalan Kampung Guar Nangka di bahagian barat dan Jalan Kampung Rambai di bahagian timur penjara tidak dibenarkan masuk melalui kawasan terbabit.

"Selain itu, jalan tar mini yang dibina di sekeliling kawasan rumah kakitangan penjara turut ditutup bagi mengelakkan pergerakan keluar dan masuk di sekitar kawasan penjara.

"Setakat ini polis menumpukan kawalan utama di pintu masuk penjara manakala jalan yang ditutup sepenuhnya akan dikawal polis secara berkala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan sembilan penjara iaitu lima di utara tanah air dan empat di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula semalam hingga 4 November ini.

Penjara yang terbabit di utara Semenanjung ialah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah manakala di Selangor ialah Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 11:59 AM