PESAWAH dan penganggur dipenjara tiga bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri dan mengingkari pelaksanaan PKP. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
PESAWAH dan penganggur dipenjara tiga bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri dan mengingkari pelaksanaan PKP. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PESAWAH dan penganggur dipenjara tiga bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas pertuduhan mencuri serta mengingkari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan Noor Shabuddin Saidin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mereka didakwa mencuri 18 biji mangga harumanis secara bersama di kebun milik seorang pengusaha berusia 53 tahun di Kampung Cikgu Ali, Arau, 9.30 pagi pada 25 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua yang dibaca secara berasingan, Saiful Hizam didakwa bergerak dari Taman Putra Height, Mata Ayer dan Noor Shabuddin dari Kampung Bukit Ulu Pauh ke Kampung Cikgu Ali, Arau yang juga di dalam mana-mana kawasan jangkitan wabak.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020) yang boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Guar Nangka, Kampung Cikgu Ali, Arau pada 25 Mac lalu.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.

Zuhair dalam rayuannya memohon hukuman minima ditetapkan berikutan Saiful Hizam mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak, manakala Noor Shabuddin adalah penganggur.

Kamaliza kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan bagi tuduhan mencuri, manakala dua bulan penjara kerana ingkar PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:41 PM