ANGGOTA tentera bersama polis berkawal di Kompleks Penjara Pokok Sena. FOTO Amran Hamid.
ANGGOTA tentera bersama polis berkawal di Kompleks Penjara Pokok Sena. FOTO Amran Hamid.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah yang tamat esok, akan dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 7 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan itu mengambil kira cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, saringan yang dibuat KKM sehingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara yang memerlukan perhatian.

"Lanjutan ini bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama dalam kalangan kakitangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau, Sabah ditamatkan sejak dikuatkuasakan sejak 11 September lalu.

Menurutnya, KKM membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau, manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan sehingga 21 Oktober lalu.

"Sehingga kini, tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau, manakala hanya dua kes dicatatkan di Kuarters Penjara Taman Ehsan yang sedang menerima rawatan.

"Justeru itu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan

Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau pada 25 Oktober ini seperti dijadualkan.

"Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 5:38 PM