GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri melarang penceramah atau pentazkirah dari kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19 berceramah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peraturan larangan itu berkuatkuasa serta merta seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) khas pada 19 Oktober lalu, sebagai langkah menyekat penularan pandemik Covid-19.

"Penceramah, pentazkirah, guru takmir atau individu yang menetap di Negeri Sembilan tetapi bertugas di kawasan yang melaksanakan PKPD atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19, juga tertakluk dengan arahan ini.

"Bagaimanapun, aktiviti di masjid dan surau berjalan seperti sedia ada dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan jumlah kapasiti dibenarkan," katanya.

Beliau berkata kepada media pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kedai makan dan kedai serbaneka yang sebelum ini dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi, disarankan untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

"Cadangan ini bagi mengawal dan menangani impak penularan Covid-19 di negeri ini dengan menghadkan masa pergerakan masyarakat tanpa menjejaskan perkembangan sektor ekonomi," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

"Setakat semalam, Negeri Sembilan merekodkan 45 pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di hospital dan 296 orang dalam pemantauan (PUS) di tiga pusat kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki, Akademi Audit Negara di Bandar Enstek, Nilai serta di Malbatt Village, Port Dickson," katanya.

Mengulas situasi perkembangan Covid-19 di Rembau yang menunjukkan peningkatan, Aminuddin berkata pemantauan dan pengawalan secara strategik dan bersasar sedang dilaksanakan oleh anggota penguat kuasa.

"Tumpuan diberikan terhadap lokaliti yang terbabit termasuk kediaman penghuni yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:44 PM