KENDERAAN dinaiki mangsa remuk teruk selepas terbabas. FOTO Ihsan Pembaca.
KENDERAAN dinaiki mangsa remuk teruk selepas terbabas. FOTO Ihsan Pembaca.
Rosli Ilham


Chukai: Wanita maut manakala empat anaknya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 316. 8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar Plaza Tol Kijal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Nik Maznah NikMat, 49, dari Kampung Melayu Majidi, Johor meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Manakala, anaknya yang parah ialah Nik Muhammad Nazrul Aieman Mat Nafi, 21; Muhammad Aliff Irfan, 14; Nik Anis Nadiera, 17; dan Muhammad Aizat Lukman, 9.

Difahamkan, Muhammad Aizat, Muhammad Aliff dan Nik Anis Nadiera tercampak keluar daripada kenderaan selepas MPV jenis Toyota Innova itu terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan pasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Johor selepas menziarahi saudara mereka yang meninggal dunia di Besut.

"Kenderaan dipandu suami mangsa, Mat Nafi Bakar, 51, yang cedera di tangan.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan. Mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat," katanya yang memberitahu ketika kejadian jalan raya basah susulan hujan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 7:52 PM