Polis menahan enam individu dalam serbuan di sebuah kondominium di Salak Selatan awal pagi tadi.
Polis menahan enam individu dalam serbuan di sebuah kondominium di Salak Selatan awal pagi tadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan enam individu termasuk tiga wanita di sebuah kondominium di Jalan Hang Tuah 2, Salak Selatan dan menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM33,837.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainduddin @ Hilmi berkata, semua suspek berusia 21 hingga 25 tahun itu ditahan 12.30 tengah malam tadi hasil risikan dilakukan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan polis menemui dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 351 gram, ketamin 79 gram, 15 botol berisi dadah MDMA, 11 biji pil ekstasi dan 140 bini eramin 5.

"Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek mendapat bekalan dadah dari seorang individu di kawasan Kuchai Lama dan Pandan Indah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, suspek juga berurusan dengan seorang pembekal satu hingga dua kali sebulan dan dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak April lalu.

"Polis kini sedang giat mengesan individu yang pembekal dadah berkenaan. Hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ketamin dan seorang lagi negatif," katanya.

Menurutnya, empat daripada suspek juga didapati mempunyai rekod dikehendaki polis berkait kes dadah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:05 PM