PASANGAN kekasih yang ditahan bersama dadah dan wang tunai oleh pihak polis. FOTO ihsan polis
PASANGAN kekasih yang ditahan bersama dadah dan wang tunai oleh pihak polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


JUAL serbuk kopi 'khayal' kepada penagih dadah.

Itu modus operandi digunakan pasangan kekasih yang menggunakan paket minuman itu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa sebelum pasangan terbabit ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, suspek membabitkan lelaki tempatan berusia 30 tahun dan kekasihnya warga Vietnam berusia 17 tahun ditahan jam 4.30 petang kelmarin hasil operasi di sebuah kondominium di Taman Desa Bakti, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis memeriksa kediaman terbabit sebelum menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 21.4 gram, ketamin anggaran berat 33.7 gram dan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1,631 gram.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki itu baru enam bulan menyewa rumah di kondominium dengan bayaran RM2,300 sebulan.

"Suspek mendapat bekalan dadah dari seorang lelaki dan dia akan membuat bungkusan semula dadah dengan mencampurkan bersama serbuk kopi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, serbuk kopi bercampur dadah itu akan dijual kepada pelanggan di kawasan Taman Desa dengan harga satu paket RM150.

"Jumlah nilai rampasan dadah dianggarkan lebih kurang RM170,295 mengikut harga pasaran semasa.

"Ujian saringan awal polis air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala suspek perempuan negatif," katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau.

"Mereka kini direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

"Polis Brickfields menasihati supaya orang ramai tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang membabitkan dadah kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil jika disabitkan kesalahan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 9:00 PM