Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 101 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta dirampas hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis di sebuah rumah kosong di Lubok Gong, Rantau Panjang.

Rampasan 10.30 malam tadi itu hanya kira-kira 100 meter daripada lokasi rampasan syabu bernilai RM4.28 juta pada Isnin lalu.

Modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan juga hampir sama dengan meninggalkan bekalan terbabit, manakala bekalan syabu malam tadi ditinggalkan dalam longgokan sampah di bekalang rumah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari D9 Bukit Aman selepas mendapat maklumat.

"Sebaik pasukan kita mendekati kediaman itu, kita mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni sebelum menemui 24 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 101 kg dadah dengan anggaran nilai RM3.6 juta.

KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat (tengah) bersama dengan pegawainya melihat rampasan sebanyak 101 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat (tengah) bersama dengan pegawainya melihat rampasan sebanyak 101 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Berdasarkan kaedah pembungkusan dan modus operandi yang digunakan, kita percaya kegiatan ini didalangi sindiket yang sama dengan penemuan syabu pada Isnin lalu termasuk jarak lokasi hanya 100 meter sahaja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shafien berkata, melihat kepada rampasan dadah jenis syabu yang banyak sepanjang Februari ini, pihaknya percaya sindiket berkenaan seolah-olah mahu 'test market'.

"Mereka mahu melihat sama ada laluan selamat atau sebaliknya untuk membawa bekalan terbabit ke pasaran termasuk Lembah Klang.

"Bagaimanapun, kita akan memperketatkan kawalan termasuk sekatan jalan raya supaya bekalan dadah berkenaan tidak bolos," katanya.

Beliau berkata, sepanjang Februari ini, terdapat tiga rampasan besar membabitkan keseluruhan syabu seberat 610 kilogram dengan nilai RM22 juta.

Katanya, mereka dilihat menggunakan pelbagai cara untuk membawa masuk bekalan berkenaan.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa sindiket yang aktif, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:18 PM