GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO Tular
GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO Tular
Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pembukaan khemah di Jabatan Kecemasan atau Jabatan Pesakit Luar Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, tiada kaitan isu ketiadaan katil.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Christina Rundi berkata, sebaliknya khemah berkenaan didirikan untuk mengasingkan pesakit menghidap penyakit berjangkit daripada pesakit lain yang mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

Katanya, hampir semua hospital serta klinik kesihatan di negeri ini sudah membuka khemah saringan seumpama itu.

"Saringan awal dan pemeriksaan bakal dijalankan oleh pegawai perubatan ke atas pesakit di dalam khemah ini.

"Langkah ini dapat mengelakkan pesakit yang menghidap Covid-19 menjangkiti pesakit lain atau petugas kesihatan yang berkongsi ruangan sama," katanya

Christina berkata demikian dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan khemah Person Under Investigation (PUI) adalah tempat saringan untuk pesakit yang ada sejarah kontak dengan pesakit Covid-19.

"Dengan adanya khemah ini, pesakit akan diasingkan serta diberi rawatan awal sebelum dimasukkan ke Wad Isolasi Khusus atau Unit Rawatan Rapi.

"Selain itu, khemah Severse Acute Respiratory Illness (Sari) di HQE dilengkapi dengan peralatan perubatan yang diperlukan bagi merawat pesakit yang kritikal sebelum dipindahkan ke wad bersesuaian," katanya.

Christina berkata, pihaknya bakal mengambil tindakan bersesuaian untuk memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan yang optimum selain memastikan tidak berlaku penularan jangkitan dalam hospital atau fasiliti kesihatan.

"Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berharap tiada pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan pandangan negatif ke atas perkhidmatan hospital dan klinik di Sabah yang sedang berusaha menangani pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 10:46 AM