Anggota Polis dan Angkatan Tentera Malaysia melakukan pemeriksaan pengguna jalan raya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Anggota Polis dan Angkatan Tentera Malaysia melakukan pemeriksaan pengguna jalan raya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: "Walaupun belum genap dua minggu saya bertugas di sekatan jalan raya (SJR) ini (Lebuhraya Persekutuan) namun banyak pengalaman saya alami," kata anggota tentera, Lans Koperal Ridhwan Mat Rahani, 26.

Ridhwan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia ditugaskan di SJR berkenaan pada 1 September lalu.

"Untuk penugasan anggota tentera di SJR, kami akan mengikut sistem penggiliran dengan bertugas di satu-satu lokasi SJR dalam tempoh dua minggu.

"Saya sudah bertugas di lebih 10 SJR di sekitar Lembah Klang termasuk di kawasan Sepang dan Gombak selain bertugas di bahagian rondaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu," katanya ketika ditemui di SJR Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.

Katanya, SJR Lebuhraya Persekutuan antara lokasi penugasan paling sibuk kerana terdapat banyak kenderaan melalui laluan berkenaan setiap hari.

"Banyak pengalaman saya lalui sepanjang bertugas di SJR termasuk kerenah orang ramai serta bekerjasama dengan pegawai dan anggota polis.

"Selepas ini, saya akan ditugaskan di SJR Kota Damansara yang dikekalkan berikutan lokasi itu yang juga laluan sempadan negeri," katanya.

Seorang lagi petugas SJR di Lebuhraya Persekutuan, Sarjan Rizal Che Rahim, 41, berkata, sebaik melapor diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Julai lalu, dia terus ditugaskan sebagai penyelia SJR berkenaan.

"Sebelum ini, saya juga bertugas di bahagian trafik IPD Klang Utara dan pernah bertugas di beberapa SJR termasuk Tol Setia Alam, Bukit Raja.

"Sepanjang saya bertugas di SJR, ada ramai orang yang saya jumpa. Malah, ada antara mereka pernah bertanyakan sampai bila pemeriksaan di SJR kerana ada pengguna mengeluh memberitahu pergerakan mereka terbatas.

"Kebanyakan mereka yang melalui SJR ini mempunyai surat kebenaran bergerak atas alasan kecemasan, kerja dan lain-lain," katanya yang akan kembali bertugas di Cawangan Kawalan Lalu Lintas, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya.

Lans Koperal Ridhwan Mat Rahani. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Lans Koperal Ridhwan Mat Rahani. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Bagi Lans Koperal Denny Tonal, 24, pula, penutupan SJR Lebuhraya Persekutuan membolehkan mereka yang bertugas boleh fokus kepada tugasan hakiki.

"Bagi saya penugasan di SJR ini bukan satu perkara baru memandangkan saya pernah bertugas di SJR lain termasuk di Plaza Tol Sungai Buloh selain bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Dengan penutupan SJR ini, saya akan memberi tumpuan kepada tugas asal saya di kaunter aduan trafik di Balai Kota Damansara," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Azerina Sabri, 29, berkata, penutupan beberapa SJR di sekitar Lembah Klang memberi kelegaan kepadanya untuk memudahkan pergerakan ke tempat kerja.

"Selain mahu bergerak ke tempat kerja, mungkin ada juga urusan yang memerlukan kita bergerak lebih 10 kilometer.

"Apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, ia membolehkan kita bergerak dengan lebih bebas untuk apa-apa sahaja urusan," katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd Hisham Hazlan, 45, berkata, pelaksanaan SJR menyebabkan ada laluan mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.

"Bila sektor ekonomi dibuka, semakin banyak kenderaan berada di atas jalan raya kerana orang ramai sudah mula keluar bekerja sekali gus menyebabkan ada laluan yang sesak teruk.

"Tindakan kerajaan melonggarkan pergerakan di sekitar Lembah Klang pastinya memberi kelegaan kepada golongan bekerja seperti saya untuk bergerak dengan lebih bebas," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Lembah Klang akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok.

Sarjan Rizal Che Rahim. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sarjan Rizal Che Rahim. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 8:34 PM