KERETA api. FOTO arkib NSTP
KERETA api. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Jabatan Keretapi Negeri Sabah menetapkan perkhidmatan kereta api antara Kota Kinabalu ke Beaufort dihentikan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya Leonard Poyong ketika dihubungi hari ini berkata, ketetapan terbabit diambil pihaknya walaupun PKPB hanya membabitkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

"Ini disebabkan perkhidmatan kereta api adalah merentasi sempadan daerah, tambahan pula bekalan makanan dan barangan keperluan asas mudah didapati di daerah masing-masing.

"Bagaimanapun perkhidmatan kereta api antara Beaufort-Tenom diteruskan bagi membolehkan penduduk setempat di sana mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan asas lain di pekan berdekatan.

"Namun perkhidmatan kereta api Beaufort-Tenom dilaksanakan dengan kekerapan dan destinasi yang dihadkan.

"Perkhidmatan kereta api antara Beaufort- Halogilat dihadkan kepada dua kali sehari, iaitu pergi dan balik pada sebelah pagi dan petang.

"Sementara itu, perkhidmatan kereta api antara Tenom-Rayoh juga dihadkan kepada dua kali sehari pergi dan balik pada sebelah pagi dan petang.

"Perkhidmatan 'School Train' akan dihentikan jika sekolah diarahkan untuk ditutup," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk melaksanakan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan sebagai langkah mengatasi penularan wabak Covid-19 yang meningkat mendadak kebelakangan ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 2:03 PM