FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah telah menetapkan hanya teksi, perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan sahaja yang dibenarkan beroperasi di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung dalam satu kenyataan media semalam berkata, ketetapan terbabit dikeluarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Waktu beroperasi untuk teksi dan perkhidmatan e-hailing bermula dari 6 pagi sehingga 8 malam setiap hari, manakala perkhidmatan penghantaran makanan pula bermula dari 6 pagi sehingga 6 petang sahaja.

"Pengangkutan awam lain seperti bas mini, bas henti-henti, bas ekspres dan kereta sewa tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu sehingga 20 Oktober dan perkhidmatan ini juga tidak dibenarkan memasuki Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang sepanjang tempoh PKPB.

"Semua teksi dan perkhidmatan e-hailing juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPB," katanya.

Dalam kenyataan terbabit, Chin turut memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk penumpang, pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing.

"Semua penumpang, pemandu teksi, pemandu perkhidmatan e-hailing dan pekerja yang terbabit dengan aktiviti pengangkutan awam diwajibkan memakai pelitup muka.

"Selain itu, mereka diwajibkan juga untuk menggunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas menaiki kenderaan pengangkutan awam di samping mematuhi penjarakan fizikal dengan bilangan penumpang maksimum yang dibenarkan seramai dua orang sahaja.

"Sementara itu, semua pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing diwajibkan untuk membuat pembersihan kenderaan selepas penghantaran penumpang selepas tamat waktu operasi.

"Penumpang yang bergejala adalah tidak dibenarkan untuk menaiki kenderaan pengangkutan awam," katanya.

Chin menjelaskan ketetapan terbabit adalah selaras dengan arahan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, semalam.

Ketetapan terbabit menurutnya juga selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam pada itu, Chin turut memaklumkan ibu pejabat LPKP Sabah juga ditutup sepanjang tempoh terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 8:51 AM