Orang awam yang menaiki tren LRT dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan pencegahan penularan wabak COVID-19 di LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Orang awam yang menaiki tren LRT dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan pencegahan penularan wabak COVID-19 di LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan langkah sesuai dilakukan bagi menangani peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, peningkatan mendadak kes jangkitan sememangnya membuat orang ramai panik.

Bagaimanapun, katanya, tindakan mengenakan semula PKP adalah langkah kurang bijak kerana semua sedia maklum impak diterima berikutan pelaksanaan PKP sebelum ini terhadap ekonomi, perniagaan dan individu.

"Apa yang kita harus buat pada masa ini dan paling penting adalah mengetatkan balik Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Pihak polis dan penguat kuasa perlu turun padang dengan lebih kerap melakukan pemantauan di tempat menjadi tumpuan orang ramai atau berkumpul.

"Pemantauan secara rawak perlu dilakukan dan pada masa sama perketatkan semula SOP seperti pemakaian pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan penjarakan fizikal," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dr Hanafiah mengakui agak terkilan dan sedih kerana orang ramai semakin leka dan tidak begitu mematuhi SOP.

Menurutnya, ramai mula mengambil mudah pematuhan SOP sehingga ada bersikap malas untuk memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal.

"Sekarang pemantauan kurang dilakukan dan barangkali kita leka kerana sebelum ini kes jangkitan berjaya dilandaikan dan akibatnya peningkatan semula kes jangkitan secara mendadak.

"Perlu diingat, jika PKP dilaksanakan semula dan masyarakat masih meneruskan benda sama, kita akan menerima lebih banyak kesan terhadap sosial ekonomi.

"Malah, tidak semua industri sesuai untuk melaksanakan kerja dari rumah, jika boleh semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing menangani isu ini," katanya.

Beliau berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk menyalahkan sesiapa (menuding jari kepada orang lain) kerana paling utama adalah menjaga diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 5:07 PM