Gambar fail, pasukan ATM berkawal di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO NSTP.
Gambar fail, pasukan ATM berkawal di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO NSTP.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Op Benteng semalam, yang membabitkan gerak kerja bersepadu agensi keselamatan.

Agensi itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi itu turut merampas satu bot dan tiga kenderaan darat.

"Operasi Benteng dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk mengawal ketat sempadan negara dariapda dibolosi Pati, mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak Covid-19.

"Sebanyak 84 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilaksana iaitu PDRM (73), Aksem (10), dan ATM (1). Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki dan kawalan terus diperketatkan khususnya di lorong-lorong tikus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan, hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-198 dan hari ke-114 PKP Pemulihan (PKPP).

Mengenai kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 38,321 individu dari 33 negara, pulang melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 66 hotel serta 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 8,698 individu sedang menjalani kuarantin wajib, manakala 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 29,517 individu didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:57 PM