Taman Ekor Rimba (TER) Lata Meraung ditutup selama dua minggu bermula 28 September berikutan wabak Covid-19 di Jerantut. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Taman Ekor Rimba (TER) Lata Meraung ditutup selama dua minggu bermula 28 September berikutan wabak Covid-19 di Jerantut. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara tiga Taman Eko Rimba (TER) di Jerantut selama dua minggu bermula 28 September lalu berikutan wabak Covid-19 di daerah itu.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, tiga TER terbabit ialah TER Som, TER Ulu Tembeling dan TER Lata Meraung yang sebelum ini menjadi lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar beriadah bersama keluarga.

"Keputusan menutup sementara tiga pusat perkelahan itu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut pada 28 September lalu dan tindakan berkenaan perlu dilakukan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut tidak akan mengeluarkan permit memasuki hutan simpan di daerah berkenaan bagi tujuan aktiviti riadah," katanya dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, JPNP memohon maaf terhadap keputusan menutup TER Som, TER Ulu Tembeling dan TER Lata Meraung dan keputusan berkenaan dibuat demi kebaikan bersama.

Menurutnya, setakat ini penutupan TER hanya di Jerantut sahaja, daerah lain tidak terbabit walaupun berlaku kes Covid-19 di daerah berkenaan.

"JPNP menguruskan 25 TER di seluruh negeri termasuk satu taman negeri, antara TER yang terkenal ialah TER Mossy Forest, TER Chamang, TER Lentang, TER Sungai Pandan, TER Lata Jarum dan TER Berkelah.

"TER Mossy Forest, Cameron Highlands mencatat jumlah kehadiran pelancong teramai lebih 80,000 tahun lalu, namun kini tempat berkenaan ditutup sementara bagi kerja menaik taraf jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:49 PM