NELAYAN melihat  muara Kuala Merchang.
NELAYAN melihat muara Kuala Merchang.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Lebih 300 nelayan di Kampung Merchang di sini, menghadapi masalah turun ke laut berikutan muara Kuala Merchang yang menjadi laluan utama nelayan ke laut semakin cetek.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati air di muara itu hanya pada paras lutut sekali gus menyebabkan nelayan perlu menyorong bot mereka setiap kali ke laut.

Difahamkan, masalah itu berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu.

Nelayan, Mohd Hitam, 66, berkata, masalah kuala cetek itu menjadi igauan nelayan di kawasan Merchang dan langkah menyelesaikan yang dibuat pihak bertanggungjawab hanya bersifat sementara.

“Kawasan muara kuala yang didalamkan itu mampu bertahan dua hingga tiga minggu dan kembali cetek apabila pasir pantai dibawa arus ke kawasan berkenaan,” katanya ketika meninjau kawasan muara itu, semalam.

Alias Muda, 58, berkata, kerajaan negeri meluluskan projek pengambilan pasir garam di kawasan muara kuala berkenaan dengan harapan aktiviti itu membantu mendalamkan kawasan muara kuala berkenaan.

“Pada peringkat permulaan, pengambilan pasir garam memberi manfaat kepada nelayan kerana mendalamkan muara tetapi sejak kebelakangan ini aktiviti itu dijalankan di kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semua pihak mengambil berat isu berkenaan demi kelangsungan aktiviti nelayan di kampung itu.

“Jika masalah itu berlarutan golongan muda tidak lagi berminat menjadi nelayan, malah nelayan sedia ada pun perlu bersara kerana ketiadaan tempat berlabuh dan menurunkan hasil tangkapan.

“Kini kami masih bersabar walaupun bersusah payah ke laut melalui muara kuala itu kerana hanya itu sumber rezeki kami.

“Bagaimanapun, kami harap tindakan penyelesaian secara kekal dapat dilakukan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Mohd Faizal Azmiyah, 34, pula berkata, dia menyediakan peruntukan RM1,000 apabila perlu menukar kipas enjin botnya dua kali setahun.

“Muara kuala yang cetek menyebabkan kipas enjin bot rosak apabila terkena dasar sungai.

“Sepatutnya kipas enjin bot boleh digunakan sehingga empat tahun tetapi perlu ditukar kerana rosak ketika melalui kawasan cetek itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:01 AM