NELAYAN Saifulnizam dan Zahnudin (kanan) menunjukkan muara Sungai Lereh yang cetek. FOTO  NURALIAWATI SABRI
NELAYAN Saifulnizam dan Zahnudin (kanan) menunjukkan muara Sungai Lereh yang cetek. FOTO NURALIAWATI SABRI
Oleh Nuraliawati Sabri


Melaka: Masalah muara cetek di Sungai Lereh di sini bukan hanya menyukarkan lebih 100 nelayan pantai untuk menggerakkan bot mereka malah, menjejaskan pendapatan harian apabila tidak dapat berada lama di laut.

Masalah itu dikatakan sudah berlarutan dan makin ketara sejak akhir Mac lalu apabila berlaku perubahan monsun kepada angin selatan.

Muara cetek mengakibatkan masalah lain yang lebih serius dan mengganggu periuk nasi nelayan termasuk mengancam keselamatan disebabkan lumpur dalam.

Nelayan Saifulnizam Othman, 42, berkata, disebabkan masalah muara, dia sukar berada lama di laut menangkap ikan kerana bimbang terkandas dan gagal berlabuh di pengkalan.

Katanya, dia dan rakan yang lain turun ke laut seawal jam 6 pagi dan bergegas pulang sebelum jam 12 tengah hari.

"Jujurnya akibat masalah ini nelayan jadi tawar hati turun ke laut, situasi kami ketika ini mengejar masa. Baru sahaja buang pukat atau jaring, tidak lama kemudian sudah kena tarik.

"Saya sendiri pernah terkena, akibat lambat bergerak pulang, akhirnya terkandas di muara lebih tiga jam.

"Apabila terkandas rakan lain pun tidak boleh berbuat apa-apa (bantu) kerana lumpur amat dalam," katanya.

Menurut Saifulnizam, ada rakan nelayan terkandas tidak bernasib baik apabila hasil tangkapan membusuk disebabkan kehabisan air batu dan terperangkap lama di pintu muara.

Lebih 30 tahun menjadikan laut sebagai punca rezeki, Saifulnizam berkata, pendapatan hariannya merosot teruk dan untuk mengutip RM100 juga agak sukar.

"Jika dulu sehari, hasil tangkapan boleh mencecah antara RM400 hingga RM500, tetapi kini sukar. Saya menggunakan bot besar, lagi sukar. Jika dulu setiap hari dapat turun (ke laut), kini sebulan kadang enam kali sahaja. Saya berharap mereka yang terbabit menggali dan mendalamkan muara dalam tempoh segera," katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan Zahnudin Aluwi, 53, berkata, sebelum ini nelayan dapat keluar ke laut pada bila-bila masa, tetapi kini perlu menunggu waktu air pasang.

"Dari pengkalan ke muara jaraknya hampir 100 meter, tapi akibat muara cetek ini pergerakan nelayan terbatas.

"Kami jadi bingung kerana masalah ini bukan berlaku seminggu dua, tetapi akan berlarutan dalam tempoh yang lama," katanya.

Zahnudin tidak dinafikan dua tahun lalu sudah ada kerja mendalamkan muara sungai itu dilaksana, namun dakwanya ia tidak bertahan lama kerana dilakukan pada waktu tak sesuai.

"Jika tidak salah sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ada korek untuk dalamkan laluan, tetapi tidak sampai setahun sudah terjadi beting pasir," katanya.

Laut beralun hasil kurang, harga ikan terus meningkat

Harga tangkapan ikan di sini, terus meningkat sehingga mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram berikutan hasil tangkapan berkurangan selain ombak beralun di laut.

Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini mendapati, hasil tangkapan ikan masih berkurangan disebabkan keadaan hujan, selain ombak beralun di tengah laut.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan bot kecil tidak berani untuk turun ke tengah laut disebabkan laut bergelora dan hanya menangkap ikan sekitar kawasan satu atau dua batu nautika dari pelantar ikan, di sini.

Nelayan, Ismail Awang, 61, berkata, dia turun ke laut seawal jam 7 pagi dari pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini dan pulang semula jam 10 pagi.

Katanya, hasil tangkapan yang diperoleh sekitar 15 kilogram (kg) dan mampu memperoleh sekitar RM80.

"Saya turun berdua dengan rakan menggunakan bot fiber dan tak berani sangat nak ke tengah laut kerana alun kuat.

"Harga ikan terpaksa dinaikkan disebabkan ikan kurang namun harga di sini lebih murah dari pasar awam kerana dijual dengan harga peraih.

"Harga ikan pula tak menentu, kalau banyak kami jual harga murah tapi kalau kurang, memang harga mahal terutama ikan kembung disebabkan permintaannya tinggi setiap hari," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ismail berkata, sebagai nelayan yang berpengalaman lebih 40 tahun dia sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan apabila nampak awan bertukar gelap, dia tidak akan turun pada hari itu.

Peniaga ikan, Khadijah Md Syah, 48, berkata, harga pasaran ikan kembung masih lagi RM10 hingga RM12 sekilo sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, tahun ini agak mencabar buat peniaga ikan di sini kerana faktor cuaca selain tangkapan berkurangan setiap hari.

"Kalau tahun sebelum ini, kami mampu menjual ikan kembung sekitar RM4 hingga RM5 sekilo tetapi sekarang ini agak susah kerana nelayan sukar memperoleh hasil tangkapan.

"Saiz ikan yang diperoleh pula sederhana saja dan kami jual terus kepada pelanggan dengan harga agak murah berbanding di luar.

"Mungkin harga ikan kembung di pasaran luar lebih mahal di sini sehingga mencecah RM12 hingga RM15 sekilo," katanya.

TANGKAPAN ikan berkurangan menyebabkan harganya meningkat sehingga RM10 hingga RM12 sekilo di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
TANGKAPAN ikan berkurangan menyebabkan harganya meningkat sehingga RM10 hingga RM12 sekilo di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

>>Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:01 AM