SERANGAN artileri tentera Republik Azerbaijan ke atas Republik Armenia di rantau Nagorno-Karabakh. FOTO AFP/Azerbaijani Defence Ministry
SERANGAN artileri tentera Republik Azerbaijan ke atas Republik Armenia di rantau Nagorno-Karabakh. FOTO AFP/Azerbaijani Defence Ministry
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia hari ini menzahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan yang semakin merosot di rantau Nagorno-Karabakh di Republik Azerbaijan susulan pertempuran sengit tentera terbaharu yang bermula sejak dua hari lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan kehilangan banyak nyawa termasuk orang awam disebabkan pertelingkahan itu.

Menurutnya, Malaysia menyertai gesaan oleh komuniti antarabangsa supaya Republik Armenia dan Republik Azerbaijan mengambil langkah maksimum dalam membendung pertelingkahan dan mengambil langkah konkrit bagi mengurangkan ketegangan antara negara berjiran itu.

"Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan konflik secara aman menerusi dialog dan diplomasi," katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menyokong semua usaha bagi mencari penyelesaian secara aman mengikut lunas undang-undang antarabangsa termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 2:31 PM